Garmin Perkenalkan Fēnix 8 Pro Dengan Panel MicroLED
Amy Maizuraa
Garmin menarik perhatian dengan pelancaran jam tangan pintar terbarunya fēnix 8 Pro. Model ini hadir dengan panel micro LED, dan menjadi antara terawal menggunakan teknologi tersebut. Paparan tersebut menawarkan kecerahan yang tinggi sekali gus menghasilkan kandungan lebih terang.

Pun begitu, versi micro LED hanya tersedia untuk model bersaiz 51 mm. Menurut Garmin, paparan ini mampu mencapai kecerahan sehingga 4,500 nits iaitu lebih terang berbanding paparan OLED yang lazim digunakan pada jam tangan pintar lain.
Penggunaan micro LED memberi kesan kepada ketahanan bateri. Jika fungsi Always-on-Display (AOD) diaktifkan, bateri hanya bertahan sekitar empat hari. Sebagai alternatif, Garmin menawarkan versi dengan paparan AMOLED yang lebih jimat bateri. Versi ini boleh digunakan sehingga 15 hari dalam mod jam tangan pintar.

Fenix 8 Pro dilengkapi dengan modem LTE yang membolehkan pengguna membuat panggilan serta menghantar mesej melalui aplikasi Garmin Messenger. Ia juga menyokong fungsi kecemasan satelit melalui langganan InReach yang sesuai digunakan di kawasan tiada rangkaian. Berbeza dengan model sebelumnya, jam ini tidak lagi menyertakan sokongan pengecasan solar.

Turut melengkapinya adalah skrin sesentuh 1.4 inci (454 x 454 piksel), memori 32GB dan kalis air 10ATM. Ia juga menawarkan pelbagai ciri kesihatan seperti pemantauan denyutan jantung, pernafasan, tekanan, tenaga badan, tidur, meditasi dan kesihatan wanita.
Versi dengan paparan AMOLED (47mm) dijual pada harga permulaan $1,199.99 (~RM RM5,067) manakala model 51mm berharga $1,299.99 (~RM RM5,491).
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.