Garmin Instinct Crossover AMOLED Dijual Di Malaysia Pada Harga RM3029
Amy Maizuraa
Garmin telah melancarkan model terbaharu dalam siri peranti boleh pakai mereka iaitu Garmin Instinct Crossover AMOLED. Seperti model Instinct terdahulu, jam tangan ini direka untuk aktiviti luar dengan rekaan tahan lasak.

Model ini merupakan penambahbaikan kepada Instinct Crossover asal dengan paparan AMOLED bersaiz 1.2-inci yang menawarkan paparan lebih terang.
Pun begitu, perubahan daripada panel MiP kepada AMOLED memberi kesan kepada ketahanan bateri di mana jangka hayat berkurang daripada 28 hari kepada 14 hari atau 5 hari dengan AOD yang digunakan sepanjang masa.

Dari segi fungsi, Garmin Instinct Crossover AMOLED masih mengekalkan ciri-ciri utama model asal seperti ketahanan fizikal, paparan analog dan sokongan aktiviti luar.
Namun, ia kini dilengkapi dengan sokongan GPS dwi-jalur bersama teknologi SatIQ yang memberi ketepatan lokasi lebih jitu.
Selain itu, kapasiti storan turut dipertingkatkan daripada 64MB kepada 4GB untuk membolehkan lebih banyak aplikasi disimpan.

Garmin Instinct Crossover AMOLED turut hadir dengan ciri baharu seperti Garmin Share, Garmin Passcode dan Red Shift Mode untuk keselamatan dan kemudahan harian.
Ia juga dilengkapi dengan lampu suluh LED, kalis air sehingga 10ATM dan skrin Sapphire yang tahan calar.
Satu lagi ciri menarik ialah muka jam boleh diubah secara automatik supaya widget tidak terlindung oleh jam analog.
Bagi yang berminat, Garmin Instinct Crossover AMOLED ditawarkan di Malaysia pada harga RM3029 dan boleh didapati melalui pengedar sah Garmin atau laman web rasmi mereka.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.