Garmin Blaze Equine Wellness System Dilancar – Penjejak Kesihatan Pintar Khas Untuk Kuda
Amy Maizuraa
Kalau sebelum ini penjejak kesihatan hanya tertumpu kepada manusia, Garmin kini tampil berbeza dengan Blaze Equine Wellness System. Ia merupakan penjejak kesihatan pintar yang direka untuk memantau kesihatan haiwan kesayangan khususnya kuda.
Garmin Blaze dilengkapi dengan kain balutan ekor dan sensor yang dipasang di bawah ekor kuda tanpa memerlukan sebarang persediaan khas. Ia boleh digunakan serta-merta dan berfungsi dengan lancar. Sensor ini membantu penunggang dan jurulatih memantau maklumat penting seperti degupan jantung, suhu badan, pergerakan kuda dan jarak perjalanan.

Semua data ini membolehkan pemantauan kesihatan dan prestasi kuda dilakukan dengan lebih mudah. Maklumat seperti degupan jantung, suhu badan dan pergerakan kuda boleh diakses terus melalui aplikasi Blaze di telefon pintar atau jam tangan pintar Garmin yang disokong.

Blaze juga membolehkan pemilik mencipta profil berasingan untuk beberapa ekor kuda bertujuan untuk memudahkan mereka menguruskan lebih daripada satu haiwan dalam satu sistem. Ia juga dilengkapi ciri skor haba yang membantu menilai tahap keselamatan menunggang berdasarkan suhu dan kelembapan semasa.
Sensor ini menawarkan jangka hayat bateri sehingga 25 jam dan dijual pada harga USD599.99 (RM 2536).
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.