Pemuda DAP Sabah berpendapat langkah yang wajar diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir ialah mengantung tugas serta-merta kakitangan sekolah yang sedang disiasat, bukan memindahkan mereka.
Ketuanya, Chan Loong Wei, berkata langkah menempatkan semula kakitangan terbabit ke Jabatan Pendidikan Sabah adalah tidak memadai untuk membolehkan siasatan berjalan tanpa sebarang gangguan.
“Penggantungan adalah langkah segera dan perlu bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, dan tanpa sebarang gangguan atau pengaruh daripada pihak terbabit.
“Pemuda DAP Sabah menegaskan bahawa penempatan semula tidak mencukupi.
“Pegawai-pegawai itu mesti digantung tugas sehingga siasatan selesai dan mereka dibuktikan tidak bersalah.
“Membenarkan individu yang disiasat kekal dalam kedudukan aktif, walaupun di lokasi berbeza, berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap integriti proses siasatan,” katanya.
Tambah Chan, kes kematian pelajar tingkatan satu SMK Agama Tun Datu Mustapha itu memerlukan pendekatan sifar toleransi terhadap sebarang persepsi gangguan atau pengaruh tidak wajar ke atas saksi, pelajar, atau kakitangan sekolah.
Menurut Chan, penggantungan semasa penyiasatan juga merupakan amalan biasa bagi mana-mana kes serius terutama yang melibatkan kematian.
Pada masa sama dia menegaskan Pemuda DAP Sabah berdiri teguh bersama keluarga Allahyarham Zara Qairina dan rakyat Sabah yang terus menuntut akauntabiliti, ketelusan dan keadilan sepanjang proses itu.
Sebelum ini KPM mengumumkan pengetua, penolong kanan hal ehwal pelajar dan semua warden SMKA Tun Datu Mustapha akan ditempatkan di Jabatan Pendidikan Sabah sehingga siasatan polis berhubung kematian remaja itu selesai.
Sementara itu senada dengan gesaan tersebut ialah Pemuda MCA.
Setiausahanya, Saw Yee Fung, berkata langkah menggantung tugas pegawai yang terlibat dalam siasatan akan menjamin integriti proses tersebut, selain mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap hasilnya nanti.
“Langkah menggantung tugas itu bukan sekadar keperluan prosedur sebaliknya menghantar isyarat kepada rakyat bahawa kita sama sekali tidak bertolak ansur dengan hal-hal sebegitu.
“Ia juga akan memberi gambaran betapa seriusnya kerajaan menangani isu buli serta keselamatan di sekolah,” katanya dalam kenyataan media.