Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berhubung jumlah gantirugi yang perlu dibayar kepada MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Jessy Lai, dengan mengurangkan jumlah tersebut daripada RM2 juta kepada RM75,000.
Panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, sebulat suara memutuskan gantirugi yang diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir, adalah terlalu tinggi.
Pada tahun 2023, Akhtar mengarahkan Lim membayar RM500,000 kepada MonSpace dan RM1 juta kepada Lai sebagai gantirugi am, serta RM500,000 kepada kedua-dua plaintif sebagai gantirugi teruk (aggravated damages). Hakim itu juga memerintahkan Lim membayar RM250,000 kos guaman kepada syarikat itu dan Lai.
Dalam prosiding hari ini, panel hakim mengurangkan jumlah tersebut dengan memerintahkan Lim membayar RM50,000 kepada syarikat berkenaan dan RM25,000 kepada pengasasnya sebagai gantirugi am, serta RM50,000 kos guaman kepada kedua-dua plaintif. Panel hakim turut membatalkan gantirugi teruk.
MonSpace dan Lai memfailkan saman terhadap Lim pada Jun 2019 berhubung dakwaannya bahawa syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal membayar pulangan seperti dijanjikan kepada para pelabur.
Tindakan undang-undang ini difailkan selepas Lim mengeluarkan 15 kenyataan antara 2017 dan 2018 terhadap plaintif, termasuk mendakwa Lai menjalankan perniagaan haram serta menggambarkannya sebagai seorang yang tidak jujur.
Dalam saman mereka, plaintif menuntut gantirugi am, gantirugi teruk serta permohonan maaf daripada Lim.
Dalam penghakimannya, Akhtar mendapati Lim melampaui tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen dengan membuat tuduhan terhadap plaintif, malah tidak sepatutnya pergi ke pejabat mereka bersama 19 warganegara China yang didakwa sebagai mangsa skim tersebut.
Dia menambah, sebagai seorang Ahli Parlimen, Lim sepatutnya mengesahkan maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan.
Dalam prosiding sama hari ini, panel hakim menolak rayuan Lim terhadap keputusan Akhtar dan sebulat suara berpendapat dia memang melakukan fitnah terhadap plaintif melalui kenyataan yang dikeluarkannya.
Panel hakim bersetuju dengan penghakiman Akhtar bahawa kenyataan Lim dibuat berdasarkan andaian semata-mata tanpa mendapatkan penjelasan daripada plaintif terlebih dahulu.
Dengan tidak mendapatkan penjelasan, panel hakim berpendapat kenyataan Lim adalah percubaan untuk mempengaruhi orang awam menentang plaintif yang jelas berunsur niat jahat (mala fide).
“Tiada sebab untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi. Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa perkataan yang dipertikaikan itu bersifat fitnah dan mencemarkan reputasi responden (MonSpace dan Lai),” kata Hakim Collin Lawrence Sequerah yang membacakan keputusan panel.
Bersidang bersama Ahmad Zaidi dan Collin hari ini ialah hakim Faizah Jamaludin.
MonSpace dan Lai diwakili peguam Ivanpal Singh Grewal serta Dhanesh Subramaniam Nair, manakala Lim diwakili Sankara Nair.
Selepas keputusan Mahkamah Tinggi tiga tahun lalu, Lim berjaya mengumpulkan RM2 juta dengan lebihan RM250,000, yang diserahkan kepada firma guaman plaintif sementara menunggu rayuan.
Selepas prosiding hari ini, Sankara mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa peguam MonSpace dan Lai akan memulangkan lebihan dana tersebut yang kemudiannya akan didermakan kepada badan kebajikan.






