MCA mendakwa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan gagal melaksanakan agihan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) secara berkesan sehingga menjejaskan orang ramai yang membuat penebusan.
Naib Presiden MCA, Wee Jeck Seng, berkata kegagalan itu disebabkan kurangnya perancangan selain membidas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying yang mendakwa masalah itu disebabkan permintaan tinggi ketika ini.
“Ketika sistem Sara rosak, rakyat Malaysia terpaksa beratur panjang, menyebabkan rasa kecewa. Permintaan maaf yang ringkas tidak dapat menyelesaikan perkara itu, apatah lagi memulihkan kepercayaan orang ramai.
“Bantuan ini, melibatkan RM2 bilion dan lebih 20 juta penerima berumur 18 tahun ke atas, sememangnya satu usaha yang besar dan rumit. Ia memerlukan perancangan yang teliti, penyelarasan yang jelas dan langkah-langkah luar jangka, bukan kekalutan pada saat-saat akhir pada hari itu sendiri.
“Tambahan pula, dengan menyifatkan permintaan bantuan ini sebagai berlebihan, kerajaan berisiko mengalihkan kesalahan kepada rakyat dan bukannya mengakui kekurangannya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan penambahbaikan harian akan terus dilakukan bagi memastikan sistem pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) mampu menampung peningkatan jumlah pengguna terutama pada cuti hujung minggu panjang dan menjelang sambutan Hari Malaysia.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata MyKasih melaksanakan langkah menambah baik kapasiti sistem serta proses mengesan kerosakan setiap hari untuk mengatasi isu teknikal yang timbul.
“Setiap hari (MyKasih) meningkatkan prestasi sistem dan menyelesaikan masalah yang berbangkit bagi memastikan ia dapat menampung peningkatan bilangan penerima yang membuat pembelian di pasar raya,” katanya dalam taklimat media berhubung Sara di Putrajaya hari ini.
Wee berkata pada hakikatnya, ramai rakyat Malaysia yang bergelut dengan kesulitan sudah lama menanti bantuan RM100 ini.
Katanya, ada yang menangguhkan pembelian barangan asas semata-mata menunggu bantuan Sara dengan harapan dapat meringankan beban kewangan.
“Dakwaan ‘keadaan tidak dijangka” juga menimbulkan kebimbangan serius. Jika kerajaan tidak dapat menjangkakan maklum balas orang ramai yang begitu ketara, bagaimana rakyat boleh bergantung harap kepada mereka (kerajaan) untuk menguruskan cabaran masa depan?
“Justeru itu, MCA menggesa MoF menjalankan kajian yang menyeluruh terhadap insiden itu, untuk mendedahkan punca sebenar kegagalan sistem, dan untuk mendedahkan dengan jelas bagaimana pengagihan bantuan pada masa depan akan dilindungi daripada kekurangan serius itu,” katanya lagi.