KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini bukan berpunca daripada kerosakan mekanikal, sebaliknya sekadar isu teknikal yang berjaya diatasi dalam masa singkat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan bahawa gangguan operasi sebegitu adalah perkara biasa dalam mana-mana sistem dan memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.
“Ia bukan kerosakan, ini gangguan teknikal, ini pepijat dalam perisian. Dalam apa-apa sistem, kadang ia akan ada tergendala, ada pepijat dan sebagainya yang perlu diperbetulkan. Gangguan itu dalam 15 minit dan ia dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan,“ jelasnya selepas merasmikan Forum Transit Kereta Api Antarabangsa ASEAN-China 2025.
Loke turut menyuarakan rasa kesal dengan beberapa gangguan yang berlaku dalam tempoh sebulan kebelakangan ini. Namun, beliau menekankan bahawa perkhidmatan Aerotrain tetap mencatatkan jumlah penumpang yang tinggi iaitu 1.5 juta sebulan dengan ratusan perjalanan harian.
Beliau juga menggesa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) supaya memberikan perhatian serius kepada kontraktor dan vendor yang terlibat dalam penyelenggaraan perkhidmatan tersebut.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca gangguan Aerotrain KLIA yang dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya lima kali gangguan sejak beroperasi semula pada 1 Julai lalu.
Sementara itu, Loke menafikan dakwaan kelewatan dalam projek perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) ke Johor Bahru. Menurutnya, projek itu berjalan mengikut perancangan dan dilaksanakan secara berperingkat.
“Sudah pasti tidak tepat untuk mengatakan terdapat kelewatan. Saya telah menyebut beberapa bulan lepas bahawa projek ETS3 akan dilaksanakan secara berperingkat. Ia bukan kelewatan,“ tegasnya.
Fasa pertama ETS3 sehingga Segamat telah beroperasi, manakala fasa kedua ke Kluang dijangka bermula sebelum 31 Ogos ini. Fasa ketiga ke Johor Bahru Sentral pula dijadualkan beroperasi menjelang akhir tahun. – Bernama