JERANTUT: Seekor gajah jantan liar berusia lingkungan 20-an dengan gading pendek yang tersesat di kawasan belakang Klinik Kesihatan Jerantut sejak pagi tadi, dijangka dipindahkan ke Taman Negara Tasik Kenyir, Terengganu selewat-lewatnya Ahad atau Isnin ini.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi pemindahan itu akan melibatkan kira-kira 25 kakitangan pakar bersama beberapa ekor gajah denak bagi memudahkan proses menenangkan dan mengiringi mamalia tersebut.
Menurutnya, faktor usia dan keadaan gading pendek menunjukkan gajah itu masih kategori ‘remaja’ dan pemindahan segera perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan kepada orang ramai.
“Kes ini agak luar biasa kerana buat kali pertama seekor gajah dikesan menceroboh sehingga ke kawasan hutan kecil dikenali Bukit Kuantan di belakang Klinik Kesihatan Jerantut dan Bangunan Risda Jerantut. Fenomena ini berlaku akibat habitat yang semakin mengecil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, gajah yang dipercayai sama pernah mengganggu penduduk di Kampung Som sejak tahun lalu itu, dilihat cuba memasuki kawasan kuarters Klinik Kesihatan Jerantut kira-kira pukul 8.45 pagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yassin berkata, pemeriksaan mendapati terdapat jejak tapak kaki berukuran lebih 35 sentimeter serta najis gajah di sekitar kawasan hutan berhampiran.
Katanya, siasatan lanjut mengesahkan hanya seekor gajah dikesan di kawasan tersebut.
“Pasukan Perhilitan berjaya menembak ubat pelali terhadap gajah terbabit pada pukul 6.55 petang sebelum ditangkap dengan selamat. Haiwan ini kemudian akan diserahkan kepada kepakaran PKGK Kuala Gandah untuk dipindahkan ke habitat lebih sesuai,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan segera memaklumkan kepada Perhilitan jika mengesan pergerakan gajah di sekitar kawasan kediaman mereka. – UTUSAN