Malaysia Oversight

Gadai nyawa guna jambatan gantung uzur, rosak

By Utusan in January 20, 2026 – Reading time 2 minute
Gadai nyawa guna jambatan gantung uzur, rosak


KUALA KRAI: Lebih 500 penduduk di Kampung Jelekis dan Tok Uban, Lata Rek, berdepan risiko termasuk kehilangan nyawa apabila menggunakan jambatan gantung yang sudah uzur merentasi Sungai Chatel untuk urusan harian, termasuk menghantar anak ke sekolah.

Tinjauan mendapati penduduk tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan jambatan berusia 32 tahun dan setinggi enam meter itu kerana ia merupakan satu-satunya laluan keluar masuk kampung.

Wakil penduduk, Sakeri Isa, 61, berkata setiap kali menggunakan jambatan itu, dia tidak putus-putus berdoa dan berzikir untuk mengelakkan sebarang bahaya.

“Inilah satu-satunya laluan bagi kemudahan penduduk di sini. Walaupun berdepan risiko yang boleh mengancam nyawa, kami tetap terpaksa menggunakannya.

“Besar harapan saya agar dapat membaik pulih atau menggantikan jambatan dengan yang baharu demi keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sakeri berkata dia bimbang jika langkah segera tidak diambil, ia boleh menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa sekiranya penduduk terjatuh ke dalam sungai.

Katanya, beliau tidak mahu kejadian jambatan runtuh di Kampung Chatel berulang di kawasan ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Lata Rek, Mohamad Zamri Mohd. Noor, berkata pihaknya sudah membawa aduan itu kepada untuk diambil tindakan.

Katanya, beliau berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkan penduduk terus terdedah kepada bahaya kerana struktur jambatan itu sudah tidak lagi kukuh.-UTUSAN





Source link