Fujifilm Instax Mini Evo Cinema Dilancarkan – Boleh Rakam Video Dengan Gaya Vintaj
Amy Maizuraa
Fujifilm Instax Mini Evo Cinema dilancarkan sebagai tambahan baharu dalam siri Evo dengan kebolehan merakam video. Kamera hibrid digital ini hadir dengan rekaan yang menyerupai sebuah camcorder dalam posisi menegak bersama pemicu rakaman namun hanya mampu merakam klip sepanjang 15 saat.

Rakaman video tersebut boleh dilihat terus pada skrin terbina di bahagian belakang. Kemudiannya dipilih untuk dicetak ke filem Instax lengkap dengan kod QR bagi memainkan semula rakaman yang disimpan dalam pelayan Fujifilm selama tempoh dua tahun.


Fujifilm Instax Mini Evo Cinema turut dilengkapi ‘Eras Dial’ yang membolehkan pengguna memilih jenis filem berbeza melalui sepuluh tetapan yang meniru gaya filem dari era 1930-2020 lengkap dengan kesan bunyi. Kamera ini juga menyokong cetakan imej menggunakan dial khas sama ada untuk gambar yang diambil terus daripada kamera atau dimuat turun daripada telefon pintar.

Kamera ini turut menyokong sambungan Wi-Fi dan Bluetooth untuk dihubungkan dengan aplikasi Instax sekali gus membolehkan pengguna melihat gambar dan video serta menggabungkan klip sehingga 30 saat menggunakan templat sinematik.





