Fon Kepala Logitech Astro A20X Akan Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM799
Nazrin
Jika anda memiliki sebuah komputer gaming dan juga konsol permainan video, salah satu perkara yang mungkin dilihat agak menjengkelkan ialah menukar sambungan nirwayar dari komputer ke konsol dan berbalik yang mungkin dilihat sebagai rumit.
Logitech Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa fon kepala Logitech Astro terbaru mereka, iaitu Logitech Astro A20X kini sudahpun memasuki pasaran tempatan. Fon telinga ini hadir dengan kemampuan untuk mengubah tetapan sambungan dari komputer ke konsol dengan cepat dan mudah.

Bermula dengan rekaan, fon kepala Astro A20X ini hadir dengan rangka polikarbonat dengan sistem pencahayaan terbina di kedua-dua belah telinga yang boleh diubahsuai melalui perisian Logitech. Ia juga mempunyai mikrofon terbina yang boleh dicabut sekiranya anda tidak memerlukannya.

Dari segi spesifikasi audio, ia menggunakan pemandu audio biocellulose PRO-G Audio bersaiz 40mm dengan julat frekuensi 20Hz-20KHz dan menyokong tiga mod sambungan, termasuklah WiFi dan Bluetooth 5.3 melalui aksesori PLAYSYNC Base dan juga sambungan berwayar melalui kabel USB Type-C ke Type-A yang disertakan bersama-sama fon kepala ini.
Ia juga mempunyai bateri terbina yang hadir dengan jangka-masa hidup selama 90 jam jika pencahayaan RGB tidak dipasang, dan 40 jam dengannya dipasang. Fon kepala ini hadir dengan sokongan kualiti audio sehingga 24 bit/48 kHz pada komputer dan sehingga 16 bit/48 kHz pada konsol permainan.

Untuk memudahkan pertukaran antara konsol, fon kepala ini hadir dengan butang yang membolehkan anda menukar input audio dari PC ke satu lagi konsol, memberikan pengguna pilihan untuk menyambungkan fon kepala Astro A20X ini kepada konsol seperti Sony PlayStation 5, Xbox Series X ataupun S atau Nintendo Switch 1 atau 2.
Fon kepala ini juga hadir dengan berat 300g sahaja, sangat sesuai jika anda seorang yang gemar bermain permainan komputer atau video untuk berjam-jam lamanya, dan lebih senang menggunakan fon kepala atau telinga berbanding dengan pembesar suara.
Menurut Logitech Malaysia, fon kepala Logitech Astro A20X ini akan ditawarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi pada harga RM799.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






