HyperX telah melancarkan fon kepala gaming baharu Cloud Alpha 2 dengan sorotan utama iaitu ketahanan bateri sehingga 250 jam dengan sekali pengecasan penuh. Ia direka dengan pad telinga tertutup dan kusyen microfiber untuk keselesaan terutama semasa sesi permainan yang panjang.

Cloud Alpha 2 menyokong pelbagai platform termasuk PC, PS5, PS4, Nintendo Switch, Mac, peranti mudah alih, serta Xbox melalui sambungan 3.5mm. Ia menawarkan julat frekuensi 20Hz hingga 20 kHz dengan sensitiviti 96dB pada 1 kHz. Tubuhnya pula diperbuat daripada keluli tahan karat dan aluminium untuk ketahanan jangka masa panjang.

Fon kepala ini ada dua mikrofon iaitu satu untuk bercakap semasa bermain dan satu lagi yang terbina di dalam untuk kegunaan harian seperti panggilan atau rakaman suara. Ia turut dilengkapi kawalan audio seperti pelaras kelantangan, butang pelbagai fungsi, fungsi membisukan mikrofon dan suis mod nirwayar. Selain itu, ia disertakan dengan kabel USB-C ke USB-A dan kabel audio 3.5mm sepanjang 1.5 meter.