GLOBAL | Flotila bantuan menuju Gaza kini berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan penganjur pada Sabtu.
Global Sumud Flotilla memaklumkan kapal-kapal mereka telah menyambung perjalanan selepas berhenti seketika bagi menangani masalah mekanikal dan dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari lagi.
“Dalam masa dua hari, flotila akan memasuki zon berisiko tinggi dan ketika kewaspadaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan penganjur di platform media sosial X.
Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza pada Sabtu mendedahkan satu lagi flotila terdiri daripada 10 kapal awam telah belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Catania, Sicily.
Flotila terbabit membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.
Antara peserta mereka termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan AS.
Global Sumud Flotilla – yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal – berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya laluan ke Gaza, menghalang konvoi makanan dan bantuan sehingga menyebabkan keadaan kebuluran semakin meruncing.
Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli, dengan banyak daripadanya dirampas kumpulan bersenjata yang menurut pihak berkuasa Gaza dilindungi Israel.
Israel mempunyai rekod memintas kapal-kapal menuju Gaza, merampas kapal serta mengusir aktivis.
Pengkritik menyifatkan tindakan itu sebagai lanun laut.
– Bernama/AA






