Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr., pada Khamis mengisytiharkan darurat susulan kemusnahan yang disebabkan oleh Taufan Kalmaegi, yang meragut 114 nyawa dan menyebabkan 127 individu hilang, menurut angka terkini.
Menurut Anadolu Ajansi, keputusan itu dibuat semasa taklimat, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional, berdasarkan kenyataan rasmi daripada Pejabat Presiden.
Marcos berkata pengisytiharan itu akan mempercepat usaha mencari dan menyelamat, bantuan serta pemulihan, membolehkan akses lebih pantas kepada dana kecemasan dan memperkemas proses perolehan.
“Disebabkan skala kawasan yang terjejas oleh Taufan Tino dan yang akan terjejas oleh (Taufan) Uwan, terdapat cadangan daripada majlis, yang saya luluskan, bahawa kita akan mengisytiharkan bencana negara,” kata Marcos.
Beliau berkata antara 10 hingga 12 wilayah dijangka terjejas oleh dua taufan itu, ketika Filipina turut bersiap sedia menghadapi Taufan Uwan.
Diego Mariano, Timbalan jurucakap Pejabat Pertahanan Awam berkata 82 orang cedera di Central Visayas, kawasan paling teruk terjejas, lapor media tempatan The Inquirer.
Taufan kuat itu, yang dikenali masyarakat tempatan sebagai Taufan Tino, telah merosakkan bumbung, menumbangkan pokok serta tiang elektrik dan menyebabkan banjir besar.
Kalmaegi meninggalkan negara itu pada pagi Khamis, namun masih membawa hujan di beberapa bahagian Luzon dan wilayah Mindanao, menurut agensi cuaca negara itu.
Lebih 500,000 orang dipindahkan, dengan lebih 1.4 juta terjejas di Central Visayas, termasuk sebahagian wilayah Cebu.
Banjir besar dan tanah runtuh menyebabkan jalan raya di kawasan terpencil terputus, manakala beberapa perbandaran mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut pihak berkuasa.
Kemusnahan ini berlaku selepas gempa bumi kuat 6.9 magnitud melanda Cebu pada 30 Sept, yang meragut banyak nyawa dan memindahkan ribuan penduduk.
Menurut pihak berkuasa, usaha bantuan masih diteruskan sementara pasukan penyelamat berusaha untuk sampai ke kawasan terpencil yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.
Taufan Kalmaegi melanda wilayah Visayas sebanyak dua kali pada awal Selasa, pertama di Southern Leyte dan kemudian di Cebu.
Ia dijangka kembali mengumpulkan kekuatan di Laut China Selatan sebelum menuju Vietnam dan pihak berkuasa kini membuat persiapan menjelang ketibaannya pada Jumaat.
– Bernama-Anadolu






