Filem Aksi Nyata Call of Duty Akan Diterbitkan Paramount
Effi Saharudin
Pasang NVG di kepala, letakkan ACOG di atas raifal, jangan bercakap dalam bahasa Rusia dan bersedialah untuk ke panggung wayang kerana filem aksi nyata Call of Duty kini akan menjadi realiti. Paramount menandatangani perjanjian dengan Activision untuk menghasilkan filem adaptasi permainan video yang telah terjual lebih 500 juta unit serta menjana $33 bilion sejak dilancarkan pada tahun 2003.

Di bawah perjanjian ini, bukan sahaja filem Call of Duty akan dihasilkan, malahan siri TV juga akan diterbitkan dalam dunia mestanya yang tersendiri. CEO Paramount, David Ellison berkata menghasilkan filem Call of Duty ialah impian beliau sejak sekian lama kerana beliau adalah peminat siri permainan video ini. Tambah beliau lagi filem ini akan menggunakan Top Gun: Maverick sebagai acuan menghasilkan filem aksi ketenteraan yang memenuhi kehendak peminat.
Ini ialah percubaan kedua Activision menghasilkan filem aksi nyata Call of Duty. Pengumuman pertama dilakukan pada tahun 2015 dengan penglibatan pengarah Sicario 2: Soldado, Stefano Sollima dan Scott Silver yang merupakan penulis lakon layar The Fighter, 8 Mile dan The Joker. Filem sepatutnya tiba pada tahun 2018 tetapi projek dibatalkan tanpa sebab diberikan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.