PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menganjurkan Festival Makan@Ampang sempena sambutan Hari Penjaja Selangor 2025 yang bakal berlangsung dari 14 hingga 16 November 2025 di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.
Program ini bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan para penjaja serta pengusaha kecil dalam membangunkan ekonomi tempatan.

Festival yang berlangsung selama tiga hari ini bakal menghimpunkan pelbagai vendor makanan dan minuman dari seluruh daerah Ampang Jaya, sekali gus menjadikan lokasi ini tumpuan pengunjung yang ingin menikmati juadah tempatan dan antarabangsa yang lazat dan unik.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha MPAJ untuk memperkasakan sektor penjaja dan peniaga kecil yang merupakan nadi penting dalam ekosistem ekonomi komuniti setempat.
“Penjaja memainkan peranan besar dalam menjana ekonomi rakyat. Festival ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan mereka, malah membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada khalayak lebih luas,” ujar beliau.
Beliau turut menambah bahawa festival ini merupakan antara pendekatan mesra komuniti yang sejajar dengan visi MPAJ ke arah pembangunan bandar yang inklusif dan mampan. Tambahan pula, ia juga menjadi platform mempererat hubungan antara peniaga dan masyarakat.

Festival ini bukan sekadar jualan makanan semata-mata. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bagi menceriakan suasana dan menarik penglibatan semua golongan umur. Antaranya termasuk Pertandingan Karaoke Terbuka yang dijangka menarik minat ramai pengunjung yang berbakat dalam bidang nyanyian.
Bagi memeriahkan suasana keluarga, pihak penganjur juga menyediakan Mini Karnival yang menampilkan pelbagai permainan interaktif untuk kanak-kanak dan remaja. Ini menjadikan festival ini sebagai lokasi santai hujung minggu yang sesuai untuk seisi keluarga.
Para pengunjung boleh menikmati sajian daripada pelbagai vendor makanan dan minuman, dari hidangan tempatan seperti nasi lemak, satay, dan rojak, sehinggalah kepada pilihan moden dan makanan jalanan ala antarabangsa seperti burger, takoyaki dan minuman boba.
MPAJ mengalu-alukan kehadiran seluruh warga Ampang Jaya dan kawasan sekitarnya untuk bersama-sama memeriahkan Festival Makan @ Ampang. Kehadiran orang ramai bukan sahaja memberi sokongan kepada para penjaja, malah menunjukkan semangat komuniti yang bersatu dan harmoni.
Festival ini adalah cerminan kepada komitmen MPAJ untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, selaras dengan tema yang diketengahkan: #RakyatHarmoniAmpangSejahtera.






