KUALA LUMPUR: ASEAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama dunia apabila aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini meningkat sembilan peratus pada 2024, mencecah AS$226 bilion (RM938 bilion) berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu mewakili 15 peratus daripada keseluruhan FDI global, sekali gus mengekalkan ASEAN sebagai penerima pelaburan terbesar dunia.
Katanya, pencapaian ini dicapai meskipun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat persaingan strategik kuasa besar, kerentanan rantaian bekalan dan perubahan corak perdagangan yang boleh menjejaskan aliran modal.
“Walau dalam ketidaktentuan ini, ASEAN masih mengekalkan kekuatan uniknya iaitu rantau ini terus menarik tahap FDI yang kukuh, khususnya dalam sektor digitalisasi, tenaga mampan, pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan kewangan.
“Dengan pasaran gabungan melebihi 680 juta orang serta kelas pertengahan yang semakin berkembang, ASEAN kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-28 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, AIA telah memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan rantau ini ke arah integrasi ekonomi yang lebih komprehensif dengan memudahkan aliran pelaburan tanpa halangan, meningkatkan ketelusan serta menggalakkan persekitaran perniagaan yang boleh dijangka dan kompetitif.
Ujarnya, Malaysia selaku tuan rumah Mesyuarat Majlis AIA ke-28 menegaskan semula komitmen rantau ini untuk terus menjadi destinasi pelaburan yang dinamik dan menarik di tengah-tengah landskap ekonomi global yang mencabar.
“Meskipun ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan akibat persaingan geopolitik kuasa besar serta kerentanan rantaian bekalan, ASEAN kekal sebagai rantau yang menawarkan peluang pelaburan jangka panjang.
“Pada masa yang sama, pelaburan intra ASEAN masih sederhana berbanding aliran masuk dari luar.
“Mengukuhkan pelaburan dalam rantau ini bukan sahaja akan memperkukuh keterhubungan rantaian bekalan tetapi juga meningkatkan daya tahan ekonomi kita terhadap kejutan luaran,” ujarnya. – UTUSAN