Satu lagi kesilapan bendera mengundang kecaman orang ramai, kali ini berkaitan pertandingan menghias Hari Kebangsaan anjuran Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).
Menurut Sin Chew Daily, gambar yang disiarkan di laman Facebook rasmi majlis perbandaran itu menunjukkan model Jalur Gemilang yang memaparkan bintang 16 bucu, bukannya 14 bucu.
Difahamkan, bendera yang tersilap itu adalah sebahagian daripada hiasan peserta pertandingan itu bagi mengindahkan kawasan MPPn.
Insiden terbaru ini berlaku berikutan rentetan kejadian serupa sebelum ini. Semalam, Majlis Perbandaran Sungai Petani mencetuskan kritikan selepas menyiarkan ucapan Hari Kebangsaan di Facebook yang memaparkan rekaan Jalur Gemilang dengan 11 jalur dan bintang 16 bucu.
Selepas mendapat kecaman, majlis perbandaran itu segera membetulkannya dan memuat naik semula versi bendera yang betul.
Pegawai perhubungan awam majlis perbandaran itu kemudiannya mengakui kesilapan dan mengesahkan bahawa hantaran yang salah telah dipadamkan.
Sebelum ini, MPPn telah mengarahkan dua premis – sebuah premis pasar mini di Pekan Nanas dan sebuah klinik pergigian di Pontian – untuk menghentikan operasi selama 30 hari atas alasan tersalah pamer bendera negara dan negeri.
Jumaat lalu, Dr Boo Cheng Hau dari DAP Johor berkata dia telah membuat petisyen kepada suruhanjaya penjawat awam (SPAJ) negeri untuk melancarkan tindakan tatatertib terhadap Yang Dipertua MPPn Azim Shamsuddin.
Dia menuduh Azim gagal mentafsir dengan betul bidang kuasa yang diberikan di bawah Akta Kerajaan Tempatan apabila memutuskan untuk mengarahkan dua premis untuk menghentikan operasi.
Boo berkata kuasa untuk memantau dan mengawal selia cara mempamerkan lambang negara atau negeri dan mengibarkan bendera kebangsaan atau negeri ditetapkan dalam Akta Lambang Negara (Kawalan Pameran) 1949 (Akta 193), yang bermaksud polis bertanggungjawab untuk menguatkuasakan akta itu.