Pelantikan Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru disambut baik oleh pelbagai pihak, termasuk bekas pendahulunya Zulkifli Mohamad.
Zulkifli yang juga bekas menteri agama menyifatkan anak bekas presiden PAS Fadzil Noor itu sebagai tokoh wasatiah (sederhana) yang menekankan kesatuan umat.
Menurut Zulkifli, dia telah lama mengenali Fauwaz sejak bersama dalam Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid).
“Saya mengenalinya sejak bersama-sama dalam Murshid, sebagai tokoh ilmuwan muda lulusan al-Azhar dan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah yang membawa gagasan wasatiah dan sentiasa mendahulukan kesatuan ummah,” katanya.

Menulis di media sosial, Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada mantan mufti, Luqman Abdullah atas sumbangannya sepanjang berkhidmat.
Pelantikan Fauwaz berkuat kuasa mulai 23 Mei diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar hari ini.
Na’im menyifatkan lantikan itu sebagai langkah penting memperkukuh institusi mufti serta panduan syariah yang seimbang.
Fauwaz adalah anak allahyarham Fadzil merangkap adik Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
Dia memperoleh ijazah sarjana muda syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, dan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya.
Selain itu, dia juga pernah menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta’, Mesir, dan memiliki sijil kemahiran fatwa.
Dia juga adalah anggota Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan mempunyai kepakaran dalam bidang akidah serta pernah berkhidmat sebagai panel pakar akidah di Jabatan Agama Islam Perak.
Sementara itu, pendakwah dan pensyarah Abu Hafiz turut mengucapkan tahniah kepada Fauwaz, sambil berharap “aroma keterbukaan” serta semangat Madani disuburkan lebih baik di Wilayah Persekutuan.
“Selamat bertugas buat Sahib al-Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah yang baru,” katanya di X.