Malaysia Oversight

Farhash gagal dapat perintah injunksi ke atas MalaysiaNow

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
Farhash gagal dapat perintah injunksi ke atas MalaysiaNow


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama dua plaintif lain bagi mendapatkan perintah injunksi terhadap portal berita MalaysiaNow berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili MalaysiaNow dan editor Abd Ar-Rahman Koya, mengesahkan keputusan tersebut kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Rajesh berkata hakim Noor Hayati Mat yang menyampaikan keputusan melalui prosiding dalam talian hari ini mendapati Farhash dan dua plaintif lain gagal membuktikan bahawa pembelaan pihak defendan tidak berasas.

“Hakim juga menyatakan bahawa isu berkaitan kekukuhan pembelaan kami akan diputuskan selepas perbicaraan kes itu dijalankan.

“Hakim mendapati bukan menjadi tanggungjawab mahkamah untuk memutuskan sama ada kenyataan tersebut adalah fitnah atau sebaliknya pada peringkat awal ini,” katanya.

Rajesh menambah selepas meneliti bukti-bukti yang dikemukakan dalam permohonan injunksi – termasuk dokumen yang menyokong dakwaan laporan MalaysiaNow – mahkamah mendapati pembelaan yang dikemukakan tidak jelas ia palsu, justeru tidak ada keperluan untuk injunksi sementara.

Dia turut memaklumkan bahawa hakim memerintahkan kos sebanyak RM5,000 dibayar kepada pihak defendan.

Rajesh turut mengesahkan bahawa dengan keputusan hari ini, MalaysiaNow boleh mengekalkan penerbitan artikel-artikel berkenaan buat masa ini.

Sementara itu, peguam yang mewakili pihak plaintif, Rajan Navaratnam, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 21 Ogos lalu, Farhash bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan Rahman, serta menuntut ganti rugi RM10 juta berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.

Dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini menunjukkan saman itu difailkan oleh firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Julai.

Farhash bersama Bumi Suria Sdn Bhd (Bumi Suria) dan Mohd Aminudin Mustapha menamakan MNow Sdn Bhd serta Rahman sebagai defendan.

Farhash dan Aminudin merupakan pengarah syarikat Bumi Suria.

Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif.

Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh dan tanpa syarat di portal berkenaan, faedah lima peratus setahun, serta remedi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mereka juga menuntut defendan memadam artikel-artikel berkenaan dari laman MalaysiaNow, selain memfailkan permohonan injunksi segera bagi menghalang portal itu daripada mengeluarkan semula artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Dalam afidavit sokongan, plaintif mendakwa artikel berkenaan mencemar reputasi bekas setiausaha politik Perdana Menteri Ibrahim itu sebagai tokoh awam terkenal dan dihormati, serta menjejaskan kerjaya dan hubungan perniagaan Aminudin.

Artikel itu, kata plaintif, menggambarkan seolah-olah mereka menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen perlombongan secara haram.

[Baca berita asal]



Source link