Malaysia Oversight

FAM pecat Persatuan Bolasepak Perlis

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
FAM pecat Persatuan Bolasepak Perlis


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas apabila memecat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungannya berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan pemecatan itu dibuat selepas tempoh enam bulan yang diberikan kepada PFA bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Tempoh enam bulan itu pun sudah berakhir. Jadi, hari ini jawatankuasa membuat keputusan untuk memecat PFA daripada menjadi ahli gabungan FAM,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Dengan pemecatan itu, PFA tidak lagi dibenarkan menyertai atau mewakili sebarang aktiviti berkaitan bola sepak di seluruh negara.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff menjelaskan pemecatan PFA tidak menjejaskan penyertaan Perlis GSA FC dalam saingan semi-pro Liga A1 memandangkan kelab itu tidak bernaung di bawah PFA.

Disember lalu, FAM memutuskan untuk menggantung PFA sehingga badan induk itu melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji serta pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland, seperti diarahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA mengeluarkan arahan berkenaan pada 4 Dis 2019.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff berkata pintu masih terbuka untuk PFA kembali menjadi ahli gabungan FAM, namun hanya selepas semua permasalahan berjaya diselesaikan.

Sementara itu, mesyuarat hari ini turut memutuskan Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram dilantik menggantikan Mohd Yusoff sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Selain itu, FAM juga melaksanakan penstrukturan semula jawatan pengerusi dalam beberapa Jawatankuasa Tetap, antaranya Mohd Yusoff kini menggalas tiga portfolio baharu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan; serta Pengerusi Jawatankuasa Darurat.

Sivasundaram pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, manakala Naib Presiden FAM Datuk Seri Rosmadi Ismail, menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk Saaran Nadarajah kini mengetuai Jawatankuasa Pengadil.

Pada masa sama, Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh, dan Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan, diberi tanggungjawab memantau Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

– Bernama



Source link