Malaysia Oversight

FAM pandang serius kesimpulan Fifa

By MkiniBM in October 7, 2025 – Reading time 2 minute
FAM pandang serius kesimpulan Fifa


FAM hari ini menegaskan mereka memandang serius beberapa kesimpulan yang dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dalam isu keabsahan “pemain warisan” yang mewakili Harimau Malaya.

Dalam kenyataan pagi ini, FAM berkata badan itu menerima dokumen penghakiman penuh daripada Fifa terkait keputusan tatatertib ekoran isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

Dengan penerimaan dokumen tersebut, kata FAM, mereka akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

Ketika ini, kata FAM, semua semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu tersebut telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada Fifa secepat mungkin.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh Fifa,” katanya.

Tambah badan yang memayungi sukan bola sepak Malaysia itu lagi, segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” katanya lagi.

Berkongsi dengan Fifa saja

Fifa baru saja menerbitkan laporan berhubung status pemain warisan yang terlibat dalam Harimau Malaya dan dikenakan tindakan oleh badan tersebut kerana kesahihan hubungan pertalian mereka dengan negara ini.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Ekoran isu tersebut FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Mempertahankan tindakan yang diambil sebelum ini, FAM berkata apa yang digambarkan oleh Fifa hari ini adalah tidak tepat serta tidak adil.

bc1e78ba8f9546cdfd8bf1e1d3ba3a62

Justeru, katanya, aspek itu akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi yang akan dikemukakan segera.

“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.

“FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” katanya.

Menurut badan itu lagi isu berkenaan melibatkan maklumat rasmi dan prosedur .

“Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.

“FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut.

“Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak Fifa bagi tujuan kes ini saja,” katanya.



Source link