Bekas menteri, Zaid Ibrahim mempertahankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan mendakwa badan induk itu hanyalah ‘budak yang disuruh’ dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan baru-baru ini.
Dalam episod terbaru The Zaid Ibrahim Podcast bersama moderator Shahbudin Husin, Zaid berkata dia percaya pihak yang memiliki kuasa lebih tinggi daripada FAM seperti individu berpengaruh terlibat dalam isu berkenaan.
“Apa yang berlaku dalam bola sepak kita bukan silap FAM. FAM tu hanya budak yang disuruh.
“Siapa yang salah bagi saya orang yang tinggi daripada FAM. Macam-macamlah, boleh jadi menteri, boleh jadi istana, boleh jadi semualah,”katanya.
Bekas penasihat undang-undang FAM itu berkata tindakan menuding jari kepada FAM hanyalah cara mudah untuk menutup isu berkenaan, lebih-lebih lagi apabila kuasa tidak sepenuhnya dimiliki badan induk bola sepak itu.
“Malaysia ni tidak ada benda yang telus, semua benda palsu,” katanya.
Dia turut menzahirkan kekecewaan terhadap budaya tidak telus dan sikap lepas tangan yang menurutnya sudah lama menebal dalam sistem pentadbiran negara.
“Idea untuk menipu FIFA bukan datang daripada FAM. Orang yang nak menipu FIFA adalah orang yang merasakan dirinya lebih kuat dari FIFA,” katanya.
Zaid, yang pernah memiliki pasukan bola sepak swasta menyifatkan skandal tersebut sebagai ‘episod hitam’ bola sepak negara dan tidak sepatutnya berlaku.
Selain itu, dia tidak menolak kemungkinan laporan kepada FIFA dibuat oleh negara Asean sendiri.
Sebelum ini FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.






