Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan dia antara sekurang-kurangnya sembilan ahli politik yang menerima ugutan video seks.
Fahmi berkata semakan mendapati ugutan itu dihantar dari alamat e-mel yang sama, dengan kandungan ancaman serta tangkap layar video yang serupa – yang menurutnya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Melalui satu hantaran di X yang kini dipadam, Fahmi berkongsi tangkap layar sebuah video hitam putih yang memaparkan dua lelaki berbaring bersama di atas katil.
Wajah Fahmi kelihatan disunting ke atas salah seorang daripada lelaki itu.
Dia kemudian memuat naik semula versi yang telah disunting bagi menutup bahagian tertentu.
E-mel itu dihantar oleh seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai penyiasat persendirian yang telah mengekori ahli politik berkenaan.
Mereka yang menerima e-mel tersebut diugut bahawa video itu akan disebarkan sekiranya tidak membayar AS$100,000.
Menurut Fahmi, ahli politik yang setakat ini menerima ugutan tersebut ialah Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli, Wong Chen, Taufiq Johari, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli; Adun PKR Najwan Halimi dan Fahmi Ngah; senator PKR Manolan Mohamad; serta Adun Gerakan Wong Chia Zhen.
“Kerajaan memandang serius insiden ini, dan saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar emel ugutan tersebut melalui aplikasi Gmail (syarikat Google),” katanya pada kenyataan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi daripada DAP, Chan Foong Hin, turut mendakwa menerima ugutan sama.
Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi untuk membuat ugutan atau memperdaya orang ramai.