Aktivis seni dan satira politik Fahmi Reza sekali lagi disekat – kali ini daripada meninggalkan negara – dalam insiden yang dikecam keras oleh NGO hak asasi, Mandiri.
Penyelaras NGO Mandiri Wong KuKui mendakwa tindakan menyenaraihitamkan Fahmi oleh pihak berkuasa merupakan pencabulan terhadap hak asasi manusia dan nilai demokrasi.
“Fahmi Reza bukan penjenayah. Fahmi hanyalah seorang rakyat yang menggunakan karya seni sebagai medium melawan penindasan, menyuarakan suara rakyat, dan mengkritik elit kuasa secara aman,” kata Wong.
Terdahulu hari ini, Fahmi telah cuba menaiki penerbangan ke Singapura untuk menghadiri konsert dua kumpulan punk kegemarannya.

Namun, dia mendapati dirinya telah disenarai hitam untuk ke luar negara.
Menurutnya, seorang pegawai imigresen di lapangan terbang memberitahu bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberikan kebenaran untuk dia meninggalkan negara.
Apabila dia bertanya mengapa, pegawai tersebut menyuruhnya bertanya terus kepada Bukit Aman.
Minggu lalu, dia telah dinafikan masuk ke Sabah dan dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Fahmi telah diberikan notis penolakan masuk sejurus ketibaan dan mendakwa arahan itu datang daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Dalam pada itu, NGO Mandiri menyifatkan tindakan berulang terhadap Fahmi sebagai penyalahgunaan kuasa yang sistematik, bertujuan mengekang suara pengkritik terhadap kerajaan.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Madani sanggup menggunakan kuasa untuk mendiamkan pengkritik mereka secara sistematik,” tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, NGO Mandiri menggesa:
-
Kerajaan dan polis tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung sebab dan justifikasi di sebalik sekatan ini;
-
Membatalkan segera sekatan terhadap Fahmi Reza dan menjamin hak rakyat untuk bergerak bebas seperti mana dijamin oleh undang-undang.
“Apabila suara disekat, seluruh ruang demokrasi kita terancam,” tegas NGO Mandiri.