Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baru berkuat kuasa mulai 15 November 2025, maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
“Fadlun menyandang jawatan sebagai Presiden PPj sejak 2022 dan dalam tempoh itu beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata Fadlun juga ialah Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia dan penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum serta jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh.
Pelantikan Fadlun, 58 telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Fadlun yang berkhidmat sebagai presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022 menggantikan Maimunah Mohd Sharif yang menamatkan perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada hari ini dan memulakan tugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas pada 17 Nov.
Fadlun mempunyai kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta berpengalaman lebih 28 tahun dalam bidang pengurusan bandar raya.
Perkembangan ini mengesahkan laporan Malaysiakini pada 12 Nov bahawa Maimunah bakal “ditugaskan semula” ke tugasan baru tidak lama lagi, menurut sumber yang rapat dengan Putrajaya dan pihak berkuasa pentadbiran bandar itu.
Masih belum jelas alasan di sebalik perubahan itu, kerana Maimunah, yang merupakan Datuk Bandar wanita pertama bagi Kuala Lumpur, dilantik ke jawatan itu lebih setahun yang lalu.
Sumber yang rapat dengan pejabat Maimunah menepis persoalan sama ada dia meletak jawatan atau kontraknya telah dipendekkan oleh kerajaan.






