Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dia telah menerima memorandum dan kunjungan kumpulan aktivis yang menuntut keadilan terhadap kematian pelajar dari Sabah Zara Qairina Mahathir.
Dia berkongsi gambar bersama mereka petang ini, tidak lama selepas kumpulan itu menyatakan rasa berang dengan ketidakhadirannya menerima sendiri memorandum dalam demonstrasi di depan bangunan parlimen di Kuala Lumpur.
Dalam perkongsian itu, Fadhlina yang juga ketua wanita PKR menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) diwakili oleh Ketua Setiausaha Aminuddin Hassim untuk menerima memorandum itu.
“Kemudian, saya telah menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di bangunan Parlimen Malaysia bagi membincangkan secara lanjut semua kebimbangan yang dibangkitkan,” katanya.

Terdahulu, ketidakhadiran Fadhlina sempena serahan memorandum berkenaan kematian Zara Qairina menimbulkan kemarahan aktivis pelajar dan masyarakat.
Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan berkata menteri itu tidak mengotakan janji untuk turun sendiri menerima memorandum.
Mempersoalkan bahawa memorandum itu bukan sekadar helaian kertas, dia menyindir Fadhlina yang duduk dalam tempat berhawa dingin ketika mereka berdiri bawah terik matahari bagi menuntut keadilan buat Zara Qairina.
Sudah umum ‘langkah penting’
Sementara itu, Fadhlina juga memberikan maklum balasnya terhadap tuntutan-tuntutan kumpulan itu, antaranya gesaan ke arah reformasi menyeluruh sistem pendidikan berkaitan isu buli.
“KPM telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya,” katanya.
“Ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat.”

Berkaitan gesaan pembentukan prosedur operasi standard (SOP) jelas dan tegas dalam kes buli, Fadhlina berkata dia bersetuju dengan cadangan itu.
Katanya, kementerian akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memberi pencerahan berkenaan garis panduan menangani salah laku buli yang sedang berkuat kuasa.
“Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk tambah baik garis panduan sedia ada,” katanya.
Warga KPM berduka cita
Dia juga mengulas gesaan supaya guru, pentadbir dan warden diberi latihan mandatori dan berkala mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar, serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa.
“Garis panduan menangani salah laku buli perlu dipatuhi di semua institusi pendidikan KPM.
“Aspek latihan akan terus diperkasakan bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden,” katanya.

Dia juga menyambut baik langkah polis mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani kes melibatkan allahyarham Zara Qairina.
“Seluruh warga KPM sangat berduka cita dengan kemalangan yang menimpa allahyarham anakanda Zara Qairina.
“Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.Zara dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Kuburnya di Tanjung Ubi, Sipitang digali semula kelmarin untuk dibedah siasat.