Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima memorandum mengenai keselamatan sekolah hari ini di tengah-tengah laungan mendesak dia meletak jawatan.
Penyerahan memorandum itu menyaksikan Fadhlina menerima dokumen berkenaan bersama timbalannya, Wong Kah Woh, serta beberapa pegawai keselamatan dan pegawai kementerian di luar pagar Parlimen pagi tadi.
Kumpulan pelajar, aktivis dan orang awam mula berhimpun di luar bangunan Parlimen sekitar jam 11.20 pagi selepas berarak dari Taman Tugu sambil mengulangi tuntutan supaya Fadhlina berundur daripada jawatannya.
Ketegangan meningkat apabila kira-kira 35 peserta himpunan itu menunggu hampir 40 minit untuk ketibaan Fadhlina, sementara cuaca buruk menambah lagi rasa tidak puas hati.

Laungan “turun, turun!” kedengaran ketika Fadhlina tiba di pintu masuk Parlimen, namun peserta protes terus bersuara lantang ketika menteri itu berbincang seketika dengan wakil kumpulan berhubung tuntutan memorandum berkenaan.
“Dia berjanji akan memenuhi tuntutan kami, (tetapi) kami tidak mahu janji kosong — kami mahu pembaharuan,” kata aktivis Ain Husniza Saiful Nizam, yang mengetuai organisasi Pocket of Pink, kepada media.
“Jika Fadhlina gagal melaksanakan tuntutan reformasi kami dalam tempoh 30 hari, dia perlu berundur dan digantikan dengan seseorang yang mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.”

Fadhlina enggan bercakap kepada media selepas menerima memorandum itu. Sebelum ketibaannya, hanya dua anggota parlimen pembangkang — Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Awang Hashim — turun menerima memorandum berkenaan.
Wan Fayhsal kecewa
Wan Fayhsal, yang baru digantung keahlian daripada Bersatu, berkata kebimbangan pelajar dan ibu bapa susulan peningkatan kes keganasan di sekolah adalah wajar, sambil menyifatkan tindak balas kerajaan terhadap situasi itu sebagai “mengecewakan.”
Dia berkata PN akan menggesa supaya satu sidang khas diadakan untuk membincangkan keselamatan anak-anak kita di sekolah.

Memorandum yang disediakan oleh Sekretariat Sekolah Selamat itu menegaskan bahawa krisis keselamatan pelajar di sekolah bukan lagi isu disiplin atau salah laku terpencil, tetapi “kegagalan sistemik” yang memerlukan reformasi menyeluruh, merentas kementerian dan berasaskan undang-undang.
Mereka mengemukakan 11 tuntutan, termasuk penggubalan akta antibuli, undang-undang khusus menangani gangguan seksual di sekolah, sokongan mental dan psikososial berkesan, mekanisme laporan mesra kanak-kanak serta audit keselamatan sekolah.
Selain itu, ia turut mencadangkan pendidikan seks dan kesihatan reproduktif yang komprehensif, penilaian kesihatan mental berkala untuk pelajar dan guru, pendidikan kesejahteraan mental dan kecerdasan emosi dalam kurikulum, penubuhan suruhanjaya sekolah selamat, serta pendekatan berasaskan komuniti.






