Malaysia Oversight

Fadhlina tak patut defensif dalam isu buli, kata Rafizi

By MkiniBM in August 16, 2025 – Reading time 2 minute
Fadhlina tak patut defensif dalam isu buli, kata Rafizi


Rafizi Ramli sekali lagi menegur Fadhlina Sidek berhubung sikap diambil menteri pendidikan terbabit dalam isu buli, termasuk ketika ia dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.

Mendakwa sudah berkali-kali membawa isu berkenaan sewaktu para menteri bermesyuarat sebelum ini, Rafizi berkata, dia antara orang yang kerap membawa cerita buli di sekolah.

Justeru, kata Rafizi, jika ada orang bertanya mengapa dia suka “membuli” Fadhlina – ketika mereka sebenarnya bersama dalam kabinet dan berkongsi parti – bekas menteri ekonomi itu menjelaskan, hal itu kerana isu buli sudah diperingatkan sebelum ini.

“Dah saya sebut berkali-kali supaya jangan ambil mudah, termasuklah isu buli di sekolah.

“Saya sebut dari tahun pertama 2023, 2024 lagi, tapi jawapan Fadhlina mcm itulah – kita semua dah bagus, kita semua dah ada (mekanisme menanganinya) […] sedangkan yang anak di sekolah ni, yang anak saya tau (buli masih berlaku),” katanya.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden berkata demikian dalam program audio siarnya, Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Isu buli semakin panas ekoran perkembangan terkini melibatkan kes kematian seorang pelajar sekolah agama di Sabah, Zara Qairina Mahathir, yang mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Antara lain ia didakwa terkait dengan isu buli, serta cara kes berkenaan dikendalikan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

Sebelum itu pun banyak kes buli di sekolah sudah dibangkitkan dan Fadhlina – yang juga Ketua Wanita – menjadi sasaran kebanyakan pihak selepas dianggap gagal menanganinya.

Betulkan, bukan tularkan

Kata Rafizi, apabila kes buli dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet – ketika dia masih berstatus menteri dulu – Perdana Menteri Ibrahim sendiri menunjukkan keprihatinannya.

Rafizi berkata selalu bersependapat dengannya dalam isu buli malah menyambung perbincangan itu apabila dikatakan pola kejadian itu ada persamaan di antara cucu-cucu perdana menteri dan anaknya sendiri.

“Anak kami ialah anak (orang) high profile (berprofil tinggi) dengan ada sebahagian daripada rakyat Malaysia memang tak suka, justeru mereka tertakluk kepada segala jenis komen,” katanya lagi.

Menurut Rafizi, anaknya – yang kini berusia 13 tahun – pernah mengalami insiden buli di sekolah, manakala isterinya juga melalui kejadian itu sewaktu belajar di sebuah sekolah berasrama penuh.

8e4a20dc293f587f1e78106e3140b954
Fadhlina Sidek

Dalam keadaan begitu, kata Rafizi Kementerian Pendidikan Malaysia adalah antara kementerian yang berada di barisan hadapan untuk menangani rakyat negara ini.

“Dia (Fadhlina) tak boleh jadi defensiflah,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Rafizi turut menegur Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh yang dianggap membuli seorang pak cik apabila bertegas mahu berkunjung ke sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas kelmarin.

Sepatutnya, kata Rafizi, jika seseorang ternampak ada Jalur Gemilang dipasang secara salah, tindakan yang tepat ialah tegur dan betulkan, bukan dirakam lalu ditularkan.

“Sampai bila, contohnya Dr Akmal, sampai bila dia nak buat stunt macam ni?

“Dengan bawa orang membuli dan menakut-nakutkan seorg pak cik ni… itu tak selesaikan masalah,” katanya.

[Baca berita penuh]



Source link