PARLIMEN | Wakil rakyat diingatkan agar menjaga kata-kata mereka dan memastikan perbahasan Dewan Rakyat berjalan dengan baik, di tengah pendakwaan terhadap lima pelajar berkaitan buli.
Menyuarakan perkara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (PH-Nibong Tebal) berkata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul perlu menggunakan kuasanya bagi memastikan para anggota Parlimen tidak menggunakan bahasa yang “mencela”.
“Soal mencela, bahasa yang tidak baik boleh juga dilihat berlaku di dalam dewan ini.
“Kita sebagai orang dewasa yang harus menjadi teladan kepada anak bangsa kita,” katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina turut membangkitkan puisi karya penyair Indonesia, WS Rendra yang bertajuk Sajak Anak Muda, yang berkisar kegagalan satu generasi dalam menjadi pedoman dan suri teladan kepada bangsanya.
“Sajak itu merujuk generasi yang gagal mempamerkan pedoman dan suri teladan, menyebabkan kegagalan terhadap generasi seterusnya. Ini kita harus elakkan,” katanya lagi.
Fadhlina berkata demikian ketika menjawab celahan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang berkata pelajar perlu dididik agar tidak menggunakan kata-kata yang mencela.
Bekas menteri itu merujuk kes lima pelajar yang didakwa membuli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini.
Mereka mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Jika disabit bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pada Isnin, Johari menggantung Awang Hashim (PN-Pendang) selama 10 hari di bawah Peraturan Mesyuarat 44(2) berhubung dakwaan ancaman fizikal yang dibuat di Dewan Rakyat minggu lalu.
Mengulas insiden itu, Johari berkata: “…Apa yang buat saya kecil hati… remuk hati. Kita bercakap tentang kelakuan anak-anak kecil di sekolah, tapi kita sendiri berkelakuan begini di depan budak-budak.”
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, Haspaizi Zain