MUKTAMAR PAS | Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, adalah antara nama besar part yang gagal mendapat undi mencukupi bagi menempatkan diri mereka dalam senarai ahli Jawatankuasa PAS Pusat kali ini.
Turut tewas ialah bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan ketua penerangan parti itu, Nasrudin Hassan, dan Pesuruhjaya PAS Perak yang direhatkan, Razman Zakaria.
Berada di kedudukan teratas daripada 15 pemenang ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang memperoleh 1,096 undi daripada 1,220 jumlah keseluruhan perwakilan.
Tempat kedua pula ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mengumpul 1,062 undi, diikuti bekas Naib Canselor UUM yang kini menjadi exco Kedah, Haim Hilman Abdullah (1,028 undi).
Turut menjadi pilihan perwakilan PAS kali ini ialah bekas pemimpin kanan Umno, Shahidan Kassim, yang mengumpul 717 undi. Bekas menteri pusat dan Menteri Besar Perlis itu menyertai PAS pada Jun 2023.
Untuk rekod pada Jun lalu Mohd Shukri turut gagal dalam pemilihan parti di peringkat kawasan Arau. Dia kalah kepada penyandang, Solahudin Azmi.
Setakat ini tokoh kanan PAS yang gagal mendapat undi mencukupi ialah Dr Ahmad Yunus Hairi (Ahli Parlimen Kuala Langat dan Adun Sijangkang), Bakri Jamaluddin (Ahli Parlimen Tangga Batu dan Ketua Penerangan PAS Melaka), Mohd Yusni Mat Piah (Adun Penaga) dan Mohd Misbahul Munir Masduki (Ahli Parlimen Parit Buntar).
[Laporan lanjut menyusul]