Presiden Upko, Ewon Benedick menjelaskan bekas anggota gabungan PH itu belum memulakan sebarang rundingan dengan parti-parti berteraskan Sabah yang lain namun tetap terbuka untuk bekerjasama pada masa akan datang.
Katanya, dia juga belum mengadakan sebarang pertemuan dengan parti tempatan lain termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (Star) untuk membentuk pakatan baharu bagi pilihan raya negeri Sabah.
Ewon memberitahu media Upko menumpukan usaha menyusun semula jentera kempen menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini, dengan parti itu dijangka menampilkan senarai calon pertama di bawah panji “Sabah First”.
“Memang tiada (rundingan). Setakat ini, saya mahu mengesahkan… walaupun ada kenyataan di media… saya sahkan tidak ada sebarang pertemuan antara Upko dan mana-mana parti tempatan,” katanya ketika ditanya pemberita selepas konvensyen parti di Penampang malam tadi.

Apabila ditanya mengenai Star, Ewon hanya menjawab ringkas: “Tiada pertemuan.”
Perkembangan itu muncul selepas Presiden Star, Jeffrey Kitingan berkata dia akan bertemu Upko bagi membincangkan kemungkinan kerjasama untuk pilihan raya Sabah.
Pun begitu, Ewon mengakui perlembagaan Upko membenarkan kerjasama dengan mana-mana organisasi yang berkongsi matlamat parti.
“Siapa lagi yang lebih memahami rakyat Sabah kalau bukan parti-parti Sabah sendiri?

“Upko sentiasa membuka pintu, sebelum, semasa atau selepas pilihan raya, kepada mana-mana parti yang boleh bekerjasama dengan kami untuk memperkukuh hak Sabah,” katanya.
Ewon menggambarkan slogan “Sabah First” sebagai satu “referendum politik” Sabah mengenai hak perlembagaan negeri itu, khususnya hak bayaran hasil 40 peratus yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Oktober supaya diselesaikan dalam tempoh 180 hari.
“Sabah First berasaskan hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.
“Hak-hak ini mesti ditentukan oleh rakyat Sabah, parti-parti Sabah dan kerajaan Sabah, tanpa memerlukan pandangan dari luar Sabah,” katanya.
Dia berkata walaupun 13 perkara MA63 telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan, “banyak lagi yang masih belum diselesaikan”, menjadikan pilihan raya negeri yang akan datang sebagai peluang bagi pengundi menilai sejauh mana tegasnya pentadbiran Sabah selepas ini dalam menuntut apa yang masih tertunggak.
“Pilihan raya ini seharusnya menjadi referendum. Referendum untuk sebuah kerajaan Sabah yang lebih berprinsip, dan lebih efektif dalam mendapatkan apa yang sepatutnya diterima, khususnya 40 peratus itu,” katanya.






