Nothing kini memperkenalkan ciri rakaman panggilan audio terbina melalui kemas kini baharu untuk Essential Space. Pengguna boleh merakam panggilan dengan menekan lama butang Essential Key atau mengetik pilihan ‘Start recording’ dalam notifikasi semasa panggilan berlangsung. Rakaman akan disimpan secara automatik dalam storan Essential Space selepas panggilan berakhir untuk rujukan di masa hadapan.

Pengumuman rasmi mengenai ciri rakaman panggilan ini telah dibuat oleh laman rasmi Essential melalui ciapan terkini di platform X, dan turut disahkan oleh Carl Pei. Ciri ini direka untuk membantu pengguna kekal fokus semasa berbual sambil membolehkan sistem menyimpan butiran penting secara automatik. Kemas kini ini dilancarkan secara automatik tanpa memerlukan sebarang tindakan manual daripada pengguna.

Ciri rakaman panggilan ini tersedia di United Kingdom, India, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Malaysia dan Indonesia bermula hari ini. Ia turut disokong pada peranti Nothing yang menggunakan Essential Space termasuk Nothing Phone (3), Phone (3a) dan Phone (3a Pro). Sokongan akan diperluaskan ke lebih banyak negara tidak lama lagi.






