Malaysia Oversight

Ernie Zakri persembahkan single terbaharu “Dansa”, lagu pop moden dan funky

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Ernie Zakri persembahkan single terbaharu "Dansa", lagu pop moden dan funky


Penyanyi bersuara lunak dan bertenaga, Ernie Zakri, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul “Dansa”, hasil ciptaan bersama Ernie Zakri dan John Jeeves, yang turut bertindak sebagai penerbit.

Menampilkan sisi baharu dalam perjalanan seninya, “Dansa” mengetengahkan sentuhan pop moden dengan elemen funky, membawa mesej positif agar pendengar terus meraikan kehidupan walaupun berdepan kesedihan dan tekanan.

Menurut Ernie, idea lagu ini tercetus daripada keinginannya untuk mengajak orang ramai melepaskan beban emosi dan menikmati setiap detik kehidupan.

“Emosi yang ingin saya sampaikan ialah bahawa kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Dalam kehidupan, kadang-kadang kita terlalu dibebani tekanan sehingga lupa untuk menghargai apa yang ada di depan mata,” katanya.

Dalam proses penulisan dan penerbitan, Ernie mengakui keserasian bekerjasama dengan John Jeeves menjadi antara faktor utama terhasilnya “Dansa”.

“Bekerjasama dengan John sememangnya pengalaman yang menyenangkan. Idea kami mengalir dengan sangat lancar dan lirik lagu ini siap dalam masa singkat kerana saya sudah jelas dengan hala tuju yang ingin dibawa,” katanya.

Ernie turut berharap lagu “Dansa” dapat memberi ruang kepada pendengar untuk melupakan kesedihan dan menari bersama irama yang mengujakan.

Selain itu, dari segi muzik, “Dansa” memperlihatkan sisi Ernie yang lebih moden, berani bereksperimen dan versatil, namun masih mengekalkan elemen pop yang menjadi identitinya sejak awal.

“Walaupun ‘Dansa’ masih berteraskan genre pop, pendekatannya lebih funky dan kontemporari. Saya juga merancang untuk menyertakan lagu ini dalam album Sahabat, agar keseluruhan album tampil dengan variasi konsep yang menarik,” katanya.

Dengan kekuatan vokal tersendiri, mesej positif yang menyentuh jiwa serta susunan muzik yang segar, “Dansa” dijangka menjadi antara karya penting dalam karier Ernie Zakri, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi wanita terbaik tanah air. Sementara itu, “Dansa” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.





Source link