Epson ialah sebuah syarikat teknologi pengimejan dari Jepun yang sangat terkenal untuk mesin pencetak dan juga perkakasan projektor untuk kegunaan pelbagai jenis industri.
Terkini, Epson Malaysia telah memperkenalkan siri projektor rumah terbaru mereka, Epson Lifestudio mereka untuk pasaran tempatan. Siri projektor ini terdiri daripada beberapa model, termasuklah – Epson Lifestudio Pop (EF-61G, EF-62N) dan Epson Lifestudio Flex (EF-71, EF-72).

Kedua-dua siri projektor Lifestudio Pop dan Lifestudio Flex ini cukup ringan sekali dengan berat dibawah 4kg, membolehkannya dibawa kemana-mana sahaja dengan mudah. Untuk projektor Lifestudio Flex, kelebihan tambahannya ialah ia boleh memancarkan skrin bersaiz besar pada pelbagai jenis permukaan, dari dinding ke siling dan lain-lain tanpa perlu mengubah kedudukan perabot anda.

Kesemua model-model projektor Epson Lifestudio ini hadir dengan kebolehan untuk memancarkan paparan dengan saiz sehingga 150 inci pada resolusi Full HD ataupun 4K bergantung kepada model yang digunakan.

Menguasakan kebolehan pemancaran besar dan berkualiti tinggi ini ialah Triple Core Engine oleh Epson yang menggabungkan pemancar 3LCD dengan nilai kecerahan 1000 lumens yang memancarkan tiga sumber cahaya dengan warna berbeza yang mampu mengolah output video dan gambar yang bukan sahaja cantik, tetapi juga jitu.

Untuk memudahkan proses pemasangan, semua projektor Epson Lifestudio dan Flex hadir dengan fungsi pengubahsuaian saiz skrin automatik, pembetulan keystone, pengubahsuaian warna mengikut warna dinding automatik dan pengelakan halangan yang akan mengubahsuai saiz paparan kepada saiz yang sesuai apabila projektor melihat halangan dalam ruang pemancaran.

Kualiti audio juga merupakan satu aspek yang penting untuk menikmati tontonan filem ataupun siri televisyen yang mendalam. Untuk ini, kesemua projektor Epson LIfestudio hadir dengan pembesar suara Bose, jenama audio terkemuka yang dikenali untuk produk-produk audio mereka.

Kesemua projektor-projektor ini juga hadir dengan sistem operasi Google TV terbina, memudahkan pengguna untuk mengakses perkhidmatan penstriman kegemaran mereka secara terus dengan cepat dan mudah.

Satu keunikan yang hadir pada projektor Epson Lifestudio Flex (EF-71, EF-72) ialah rekaannya yang unik membolehkannya digunakan sebagai sebuah lampu sisi katil, menjadikannya sebuah aksesori gaya hidup yang memberi sedikit kelainan di rumah anda.

Epson Malaysia mengatakan bahawa semua projektor-projektor Lifestudio ini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan melalui gedung-gedung atas talian di Shopee dan Lazada pada harga-harga berikut:
- Epson Lifestudio Pop EF-61 – RM2989
- Epson Lifestudio Pop Plus EF-62 – RM4099
- Epson Lifestudio Flex EF-71 – RM4159
- Epson Lifestudio Flex Plus EF-72 – RM5099






