Pemuda Umno menganggap titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong berkenaan hukuman ke atas Najib Razak perlu dilaksanakan segera dan tanpa sebarang alasan.
Ketua Penerangan Pemuda Umno Mohammad Sollehin Mohamad Tajie juga menegur Lim Lip Eng berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kepong itu berkenaan kedudukan Najib.
Kata Sollehin ketika ini terbukti adendum bukan sekadar khabar angin sebaliknya selaras dengan kuasa yang diberikan perlembagaan negara kepada Agong untuk mengampun, meringankan, atau menukar hukuman mana-mana individu.
“Pemuda Umno Malaysia menegaskan bahawa titah ini mesti dilaksanakan tanpa dolak-dalik atau alasan politik.
“Sebarang keengganan (untuk melaksanakannya) adalah lambang penderhakaan kepada institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Julai lalu Lim membantah cadangan agar Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.
Untuk rekod bekas perdana menteri itu kini ditahan di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram.
Kata Lim prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi dan semua sabitan jenayah oleh mahkamah mesti dihormati serta dilaksanakan tanpa pilih kasih.
“Malaysia tidak boleh menjadi negara dua darjat — satu undang-undang untuk golongan elit, satu lagi untuk rakyat.
“Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dengan saksama, berintegriti dan konsisten terhadap semua, tanpa pengecualian,” katanya.
Ia merupakan reaksi Lim terhadap kenyataan dibuat Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkenaan pengesahan kewujudan titah adendum mengenai Najib.
Sollehin berkata isu tahanan rumah untuk Najib bukan sekadar kehendak Umno atau cadangan politik semata-mata, sebaliknya melibatkan titah Agong yang diperakui melalui saluran sah dan rasmi negara.
Tindakan mempertikaikan titah tersebut, katanya, sangat dikesali dan dilihat sebagai cubaan memperlekeh institusi raja serta mencabar asas perlembagaan negara.
“Adakah Lim mahu meletakkan dirinya lebih tinggi daripada kuasa Yang di-Pertuan Agong?
“Jika benar, maka beliau dan mana-mana pihak yang sehaluan dengannya wajar diberi teguran keras dan pendidikan semula mengenai asas kenegaraan Malaysia,” katanya.