Malaysia Oversight

Enam timbalan naik pangkat, satu muka baru jadi menteri

By MkiniBM in December 16, 2025 – Reading time 2 minute
Enam timbalan naik pangkat, satu muka baru jadi menteri


Enam timbalan menteri dan satu muka baharu diangkat sebagai menteri penuh dalam pelantikan anggota pentadbiran Madani yang baharu, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim pada sidang media khas mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 11 portfolio itu memaklumkan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

0a3bd80802f4d6028df4c2326d725a26

Pelantikan Mohamed Taufiq itu menggantikan penyandangnya Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Enam timbalan menteri yang “dinaikkan pangkat” pula ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

725018ee890ed9b146e0cb75188dd435
Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Turut diumumkan ialah pelantikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantikan penyandangnya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden dalam pemilihan parti yang diadakan pada Mei lepas.

Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

ed9f129b983f23d8205f456c6d3c52ab
Noraini Ahmad

Turut tersenarai ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan yang dilantik mengetuai Kementerian Sumber Manusia.

Beliau menggantikan penyandangnya Steven Sim yang ditukarkan ke jawatan sama di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan pula dilantik sebagai menteri penuh menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri ketika mengumumkan senarai baharu itu berkata langkah berkenaan dilakukan berikutan kekosongan dalam Kabinet dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.

“Langkah ini supaya Kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

bde89920f5874d2e00333464af837c95
R Ramanan

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi saluran stesen televisyen antaranya Bernama TV, serta platform media sosial termasuk Facebook rasmi Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

– Bernama



Source link