Enam pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, Kelantan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli terhadap seorang pelajar sekolah yang sama.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas dan kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan semalam.
Dia berkata kejadian itu berlaku pada 12.45 tengah hari pada Isnin lepas, pengadu mendakwa ditumbuk dan disiku di bahagian kepala serta ditendang di punggung oleh lima pelajar lelaki.
“Seorang daripada suspek turut bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai pengadu sehingga paras lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kama Azural berkata akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala serta trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama berulang kali.
“Mangsa memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas dan hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terlibat membuli mangsa.
Kama Azural berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323/507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
-Bernama