Empat remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di Baling hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah, sejak Jun lepas.
Kesemua remaja berusia 15 hingga 17 tahun melibatkan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sekolah menengah itu, didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak dalam prosiding tertutup.
Mereka masing-masing didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di ladang sawit Becah Sawa, Siong dan di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Baling pada Jun, Julai dan Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan kepada media bahawa kesemua remaja itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Baling, ditahan berkaitan kes seksual dan menyebarkan bahan lucah.
Penahanan itu dilakukan selepas pengadu berusia 53 tahun memaklumkan guru disiplin sekolah itu berkaitan penularan rakaman video anaknya yang berusia 15 tahun itu.
– Bernama






