Malaysia Oversight

Empat pesawat Boeing P-8A perkukuh rondaan maritim tentera S’pura

By MkiniBM in September 10, 2025 – Reading time 1 minute
Empat pesawat Boeing P-8A perkukuh rondaan maritim tentera S'pura


Singapura akan memperoleh empat pesawat peronda maritim Boeing P-8A bagi memperkukuh keupayaan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam meningkatkan kepekaan tentang situasi maritim serta menangani ancaman bawah permukaan.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan bahawa menterinya, Chan Chun Sing, berkongsi keputusan Singapura memperoleh pesawat itu dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, semasa pertemuan mereka di Pentagon pada Rabu.

Pesawat berkenaan akan diperoleh dalam fasa pertama usaha SAF memperbaharui keupayaan keselamatan maritimnya dan bakal menggantikan pesawat Fokker 50 yang telah berkhidmat sejak 1993.

P-8A ialah pesawat peronda maritim yang dilengkapi dengan keupayaan peperangan anti-kapal selam (ASW) dan digunakan oleh sembilan negara lain.

cb047a258107d711086caf2633c89221

“Mengenai 20 pesawat F-35 yang diperoleh Singapura, Chan menyatakan bahawa proses pengeluaran telah bermula dan penghantaran dijangka mengikut jadual bermula akhir 2026,” menurut MINDEF.

Dalam pertemuan itu, Chan dan Hegseth turut menegaskan hubungan pertahanan dua hala yang cemerlang dan lama terjalin serta kerjasama saling menguntungkan antara Singapura dan AS.

Mereka juga mengalu-alukan kerjasama lebih erat dalam menghadapi ancaman baharu, termasuk melalui penyelidikan dan pembangunan bersama.

Chan turut mengulangi sokongan Singapura terhadap penglibatan berterusan AS di Asia-Pasifik, selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) 1990 yang telah diperbaharui pada 2019.

Bernama



Source link