Elon Musk Tuntut Ganti Rugi Sehingga $134 Bilion Daripada OpenAI
Aman
Elon Musk merupakan antara pengasas bersama terawal untuk OpenAI pada 2015 yang lepas, dan telah menyumbang dana awal sekitar $38 juta ketika itu, iaitu 60% daripada dana awal OpenAI. Disamping itu, Elon Musk juga telah melantik beberapa pekerja awal, disamping menghubungkan pengasas OpenAI kepada pihak industri, sekaligus memberikan keyakinan orang ramai dalam menyokong projek yang baru dibangunkan tersebut.

Ketika itu, OpenAI beroperasi sebagai syarikat tidak berasaskan keuntungan, dan memfokuskan kepada pembangunan model kecerdasan buatan. Pada 2018, Elon Musk meninggalkan OpenAI.
Sejak letusan ChatGPT, OpenAI telah menerima perhatian kembali, dan tidak ketinggalan adalah daripada Elon Musk sendiri. Malah, Elon Musk turut memfailkan saman ke atas OpenAI disebabkan beberapa perkara, termasuk kerana tidak kekal sebagai badan tidak berasaskan keuntungan.
Terbaru, dalam pemfailan baharu, Elon Musk dilihat melakukan tuntutan ganti rugi daripada pihak OpenAI dan Microsoft, membawa jumlah kepada sehingga $134 bilion. Nilai ini dipetik berasaskan kepada perkembangan dan pertumbuhan nilai syarikat berkenaan kebelakangan ini.
Mahkamah dijangka akan melakukan perbicaraan berkenaan hal ini bermula April 2026 kelak.





