SEREMBAN: Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) menjalin kerjasama strategik dengan Malaysian Press Institute (MPI) bagi membuka era baharu dalam dunia kewartawanan jenayah menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani di sini baru-baru ini.
Memorandum itu bertujuan untuk memperkasakan wartawan dan pengarang melalui latihan, bengkel serta pertandingan yang akan menguji ketajaman minda serta keupayaan menyampaikan naratif jenayah yang berkesan dan beretika.
Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, MoU tersebut bukan sahaja menjalin hubungan lebih erat antara media dan agensi penguatkuasaan, malah mampu menjadikan laporan jenayah sebagai alat mendidik dan membina kepercayaan masyarakat.
“MoU ini adalah permulaan kepada gerakan baharu. Pelaporan jenayah tidak lagi bersifat sensasi semata-mata, tetapi menjadi sumber pencerahan berdasarkan fakta. Kita mahu media dan agensi penguatkuasa seiring dalam menyampaikan kebenaran demi kepentingan negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di Kampus ELMU, Bandar Enstek baru-baru ini .
Beliau berkata, bahawa dalam era maklumat yang sering dimanipulasi, kerjasama ini menjadi satu bentuk intervensi sivik bagi meningkatkan piawaian kewartawanan dan membina rasa saling hormat-menghormati antara media dengan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, MoU itu turut membuka laluan kepada penganjuran Anugerah Media Jenayah ELMU, yang bakal menjadi pengiktirafan pertama seumpamanya kepada wartawan jenayah di Malaysia.
“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan kepada mutu kerja wartawan, tetapi sebagai penanda aras baharu untuk pelaporan jenayah yang adil, seimbang dan berani menyampaikan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata bahawa pelaporan jenayah yang bertanggungjawab berperanan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu keadilan, keselamatan dan kesejahteraan sosial. Namun begitu, ia memerlukan kepekaan, ketelitian dan komitmen yang tinggi terhadap prinsip etika kewartawanan.
Kata beliau, kerjasama antara ELMU dan MPI dapat menyatukan kekuatan akademik dan praktikal bagi melahirkan wartawan yang beretika, berintegriti dan mempunyai tanggungjawab sosial melalui program latihan dan pendidikan yang terancang.
“Pemeteraian MoU ini bukan hanya simbolik, tetapi satu komitmen nyata untuk membina landskap media yang lebih beretika dan berimpak. Ia bakal menjadi platform untuk latihan, penyelidikan dan dialog ke arah meningkatkan profesionalisme dalam pelaporan berita jenayah di negara ini,” katanya.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Presiden MPI merangkap Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abdul Karim, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaluddin, serta barisan pengurusan kanan ELMU dan MPI. – UTUSAN