SEPANG: Ratu Rock, Ella enggan mengulas desas-desus mendakwa rumah tangga anak saudaranya yang juga penyanyi, Kaka Azraff kembali bergolak.
Bagi Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, perkara itu terlalu peribadi untuk diceritakan dan menyerahkan kepada tuan badan sendiri untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Benda itu begitu peribadi kerana melibatkan rumah tangganya. Kami tidak boleh masuk campur.
“Sebagai keluarga kita berikan sokongan padu kepadanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa majlis sidang media AirAsia Hausboom Festival 2025 di AirAsia RedQ pada Rabu.
Bagaimanapun, penyanyi Sembilu itu percaya bahawa Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 36, sudah matang membuat segala keputusan yang terbaik untuk masa depannya.
“Harapnya semua akan baik-baik sahaja. Terpulang kepada Kaka sebab dia pun sudah matang. Kita doakan sama-sama,” tambahnya.
Sebelum ini, timbul khabar angin kononnya perkahwinan Kaka Azraff dan suaminya, Adam Azriff kembali bergolak.
Terdahulu Kaka dan Adam sah bercerai talak satu secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 28 Oktober lalu.
Bagaimanapun, pasangan itu dilaporkan kembali rujuk ketika dalam tempoh idah selain dilihat memuat naik gambar bersama ketika menghadiri acara fesyen.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, dan Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun. -UTUSAN