Ekonomi Madani perlu lebih daripada sekadar pertunjukan, sebaliknya dilaksanakan dengan perubahan nyata yang mengangkat ekonomi rakyat, dakwa Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Jelasnya, ekonomi Madani tidak seharusnya meletakkan rakyat sebagai penonton kepada “drama politik keluarga” seperti yang dipamerkan sesetengah parti, sebaliknya mendahulukan keperluan rakyat.
“Ekonomi Madani, jika benar mahu menepati nilai-nilai yang dilaung-laungkan, mesti lebih daripada sekadar pertunjukan.
“Ia mesti perubahan nyata yang mengangkat ekonomi rakyat, bukan sekadar menempatkan mereka sebagai penonton drama ‘politik keluarga’ yang tidak berkesudahan.
“Sudah tiba masanya rakyat beralih kepada pendekatan politik solusi dan ekonomi berkebajikan, berteraskan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan umum hari ini.
Dia yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS mendakwa pilihan terbaik buat rakyat Malaysia ialah pemimpin yang mengutamakan negara serta mendahulukan keperluan rakyat.
Kenyataan Syahir itu hadir dua hari selepas PKR mengangkat Nurul Izzah Anwar sebagai orang nombor dua dalam parti tersebut. Pemimpin tertinggi PKR ketika ini ialah Anwar Ibrahim yang juga perdana menteri.
Pemilihan Nurul Izzah mencetuskan polemik mengenai kewajaran seorang anak Presiden PKR diangkat ke kedudukan tersebut.
Mengulas lanjut, Syahir berkata, Malaysia Madani merupakan naratif yang sekadar indah dihidangkan kepada rakyat namun selepas beberapa tahun berlalu apa yang dijanjikan hanya tinggal janji.
Katanya, kerajaan mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh, stabil, dan berdaya tahan namun rakyat merasai kesan sebaliknya apabila tiba masa untuk mengeluarkan belanja.
“Ketika itu, dompetlah yang menjadi saksi betapa ekonomi rakyat sebenarnya semakin tidak berdaya tahan, malah lebih rapuh daripada sistem subsidi yang dikatakan perlu distrukturkan semula, yang sehingga kini masih samar dan menimbulkan persoalan,” katanya lagi.