Majlis Peguam terpaksa membatalkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan berlangsung hari ini di ibu negara selepas tidak cukup korum untuk berbuat demikian.
Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 9 pagi itu dibatalkan selepas hanya 304 sahaja ahli Majlis Peguam hadir.
Pembatalan EGM itu diumumkan Presiden Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab kira-kira jam 11.15 minit pagi.
Ezri berkata, pihaknya memerlukan kehadiran 500 orang ahli bagi membolehkan EGM itu berlangsung.
“Saya kecewa (EGM gagal diadakan),” kata Ezri kepada media ketika mengumumkan pembatalan EGM tersebut.
Untuk rekod EGM yang diadakan hari ini bagi membincangkan dua usul utama berhubung isu kehakiman di negara ini khususnya membabitkan kebebasan badan kehakiman.
Selain itu mesyuarat hari ini juga ingin membincangkan usul berhubung keyakinan awam terhadap badan kehakiman yang semakin terhakis.
Usul berhubung pelaksanaan kadar minimum gaji yang adil untuk pelatih dalam kamar dijangka dibentangkan dalam mesyuarat dijadualkan hari ini.
Pemakluman mengenai EGM hari ini telah dibuat pada 1 Julai lalu.