Malaysia Oversight

Ee Wei hampir gantung raket

By Utusan in September 2, 2025 – Reading time 2 minute
Ee Wei hampir gantung raket


SEPANG: Pemain beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei mengakui terdetik mengibarkan bendera putih berikutan masalah kesihatan yang berpanjangan hampir menamatkan karier badmintonnya lebih awal.

Pemain berusia 25 tahun itu pernah membuat keputusan meninggalkan gelanggang pada 2019 selepas diserang masalah sinus kronik yang menjejaskan prestasi.

Namun semangatnya untuk kembali bangkit membawa Ee Wei semula ke gelanggang setahun kemudian dengan harapan dapat mengatur semula langkah.

Malangnya pada 2021, dia diuji sekali lagi apabila disahkan menghidap tuberkulosis (TB) tulang belakang sehingga terpaksa menjalani rawatan panjang di hospital.

“Saya pernah rasa mahu berhenti kerana terlalu banyak masalah kesihatan yang saya lalui, perjalanan saya penuh dengan jatuh bangun.

“Saya sangat bersyukur kerana MSN, ISN, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Road to Gold (RTG) sentiasa berada di sisi memberi sokongan untuk saya kembali kuat,” kata Ee Wei kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris, semalam.

Selain cabaran kesihatan, Ee Wei turut berdepan episod perpisahan dengan gandingannya, Chen Tang Jie pada Mac lalu selepas persefahaman mereka tidak sehaluan.

Namun keputusan untuk kembali bersama di Terbuka Singapura Mei lalu nyata tepat apabila komunikasi dan keyakinan mereka semakin kukuh.

“Setiap kejohanan adalah pengalaman, yang lebih penting adalah cara kami berkomunikasi setiap hari, itu kunci utama,” kata Tang Jie.

Hasilnya, pasangan itu kini mencipta sejarah selaku beregu campuran pertama Malaysia muncul juara dunia selepas menundukkan pilihan kedua dari Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 di Paris, Ahad lalu. – UTUSAN





Source link