Edits Kini Membenarkan Pengguna Menambah Pautan Dalam Reels
Amy Maizuraa
Aplikasi Edits menerima kemas kini baharu dengan beberapa penambahbaikan penting. Antara ciri utama ialah keupayaan menambah pautan pada klip Reels sekali gus membolehkan pengguna menghubungkan kandungan dengan akaun Instagram lain atau klip sedia ada dalam aplikasi.

Pautan tersebut akan dipaparkan apabila klip dieksport ke Instagram namun setakat ini hanya terhad kepada pautan dalaman dan tidak menyokong pautan ke laman web luar. Pun begitu, fungsi ini masih berguna untuk tujuan promosi, kerjasama serta komunikasi antara pencipta kandungan.

Selain itu, Edits memperkenalkan cadangan idea khusus untuk klip baharu berdasarkan Reels yang pernah dikongsi, kemudian membolehkan pengguna melihat sehingga 10 idea menarik setiap minggu untuk membantu mereka kekal aktif menghasilkan kandungan.

Kemas kini ini turut menambah lebih 10 kesan video baharu termasuk Bounce, Blackout dan lain-lain, di samping mengemaskini papan cerita (Storyboard) dengan alatan suntingan yang lebih pelbagai untuk pengalaman suntingan lebih kreatif. Semua ciri baharu kini boleh diakses menerusi versi terkini aplikasi tersebut.





