Editor MalaysiaNow Abdar Rahman Koya akan disoal siasat polis sekali lagi pada Khamis berhubung laporan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah yang melibatkan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Rahman berkata ini kali kedua dia dipanggil polis berkaitan pendedahan itu. Pusingan terbaru soal siasat, katanya, berpunca daripada laporan polis yang dibuat oleh Farhash.
Dia sebelum ini disoal siasat pada 12 Ogos selepas Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) membuat laporan berhubung skandal sama.
Dalam kenyataan hari ini, Rahman menegaskan dia akan terus menggunakan hak perlembagaan untuk enggan menjawab soalan polis dan tetap akan melindungi sumbernya.
Bulan lalu, MalaysiaNow menerbitkan siri pendedahan mendakwa SMM – sebuah GLC Sabah – telah memberikan lesen penerokaan mineral kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh Farhash.
Farhash adalah bekas pembantu Anwar Ibrahim ketika dia adalah ketua pembangkang.
Kedua-dua, baik Farhash mahupun SMM menafikan dakwaan MalaysiaNow itu.
Bagaimanapun, SMM kemudian menngakui ia pernah memberi kelulusan bersyarat kepada syarikat milik ahli perniagaan itu untuk memohon lesen penerokaan, tetapi kelulusan tersebut dibatalkan selepas syarikat berkenaan gagal mengemukakan dokumen diperlukan.
Rahman berkata selain siasatan polis, Farhash turut memfailkan injunksi untuk menghalang MalaysiaNow daripada terus melaporkan isu berkenaan, serta saman fitnah berjumlah RM10 juta.
Dia berkata permohonan injunksi itu akan didengar pada Selasa.
“Soal siasat polis, saman fitnah dan permohonan untuk membungkam MalaysiaNow semuanya adalah sebahagian daripada gangguan terhadap wartawan, satu trend yang semakin meningkat seiring dengan siri kenyataan berpura-pura mempertahankan kebebasan media oleh pemimpin kerajaan.
“Sebagai editor MalaysiaNow, saya menolak untuk tunduk kepada gangguan ini,” katanya.