Malaysia Oversight

Eda Ezrin diserah polis Thailand, akan direman di Malaysia

By TheSun in August 7, 2025 – Reading time 2 minute
Eda Ezrin diserah polis Thailand, akan direman di Malaysia


PASIR MAS: Polis Thailand akan menyerahkan penyanyi dikir barat, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Thailand atas kesalahan berkaitan dadah, kepada pihak Imigresen Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang hari ini.

Perkara berkenaan disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

“Ya. Polis Thailand akan menyerahkan penyanyi itu (Eda Ezrin) kepada Jabatan Imigresen Malaysia di ICQS ,“ katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Semalam, Hussein dilapor berkata Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya akan dipanggil untuk dirakam keterangan sebaik sahaja mereka dibebaskan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Media melaporkan Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda Ezrin, suaminya dan empat individu lain pada kira-kira 11 pagi (waktu tempatan) selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti bagi membuat rayuan terhadap keputusan sebelum ini.

Keenam-enam mereka sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba pada 1 Nov lepas.

Permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak oleh mahkamah pada Rabu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pekarangan Balai Polis Sungai Golok, Narathiwat, hari ini mendapati beberapa ahli keluarga, suaminya dan empat individu lain berada di lokasi sejak awal pagi bagi mengikuti proses pembebasan dan penyerahan mereka.

Kehadiran mereka mencuri tumpuan apabila dilihat menunggu dengan wajah penuh harapan dan sesekali berinteraksi dengan anggota polis Thailand yang bertugas di kawasan itu.

Bernama difahamkan, Eda Ezrin masih berada di Narathiwat dan dia akan dibawa ke Balai Polis Sungai Golok, seterusnya ke Imigresen Sungai Golok bagi urusan dokumentasi.

Selesai di sana, dia akan dibawa ke Kompleks ICQS Rantau Panjang sebelum dihantar ke Balai Polis Rantau Panjang untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Ketua Polis Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan bahawa pihaknya akan menahan Eda Ezrin dan lima individu lain sebaik sahaja mereka tiba di Kompleks ICQS Rantau Panjang.

Beliau berkata penahanan itu bagi membolehkan polis mengambil keterangan serta menjalankan ujian saringan air kencing terhadap mereka, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya telah menempatkan anggota polis bagi melaksanakan proses berkenaan di ICQS Rantau Panjang. Bagaimanapun, dua daripada enam individu terbabit yang didapati memasuki Thailand secara haram akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi hari ini – BERNAMA



Source link