Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan berkaitan pengesahan dokumen dan pematuhan prosedur kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut EAIC, penubuhan pasukan itu dibuat mengikut subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Pasukan tersebut diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Dr Prasad Sandosham Abraham, bersama ahli suruhanjaya, Siti Zainab Omar, Yusof Ismail, Ong Lam Kiat serta pegawai kanan Bahagian Operasi EAIC.
“Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 yang diadakan hari ini memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain terbabit,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, EAIC meminta kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang siasatan dijalankan memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan awam serta integriti negara di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM pula diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada Fifa.
Pada Isnin lalu Fifa memaklumkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini kekal selepas FAM serta tujuh pemain terbabit didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dan penipuan dokumen.
Fifa menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti dokumen rayuan dan mengadakan sesi pendengaran, sebelum memutuskan untuk menolak kesemua rayuan yang dikemukakan.
Menurut badan induk bola sepak dunia itu, pihak yang terlibat diberi tempoh 10 hari untuk memohon keputusan penuh berserta alasan, dan selepas dokumen tersebut dikeluarkan, mereka mempunyai 21 hari untuk memfailkan rayuan seterusnya.






